Perlu Tampilkan Calon Muda PRU 13
Dipetik dari Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 27 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak perlu menampilkan muka-muka baharu yang muda sebagai
calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pengisian
calon-calon tersebut wajar bagi membantu Najib mengukuhkan sokongan dan
pemerintahan Perdana Menteri itu kelak.
"Saya setuju dengan pandangan Tun Daim Zainuddin, mana yang lama
sepatutnya diketepikan, beri peluang kepada muka-muka baharu pula," kata
beliau dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan
Dunia Mengenai Inovasi Global anjuran Yayasan Kemajuan Kehidupan
Manusia di sini hari ini.
Dr. Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Daim
yang juga bekas Menteri Kewangan di era kepimpinan beliau bahawa Najib
perlu membuat rombakan Kabinet dengan pengisian muka-muka baharu.
Daim dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini
menegaskan, kebanyakan barisan Kabinet sekarang sudah melepasi waktu.
Sementara itu, Tun Dr. Mahathir menjangkakan pembubaran Parlimen akan dibuat sedikit masa lagi.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, jangkaan itu berdasarkan ada
negeri-negeri yang akan terbubar dengan sendirinya sekiranya pembubaran
Parlimen tidak dibuat dalam masa terdekat ini.
"Sebenarnya tempoh 'edah' Parlimen pun semakin hampir, sudah tentu
(pembubaran) tidak lama lagi," kata beliau dalam sidang akhbar selepas
menyampaikan ucaptama di Persidangan Dunia Mengenai Inovasi Global
anjuran Yayasan Kemajuan Kehidupan Manusia di sini hari ini.
Dr. Mahathir yang diasak dengan soalan yang sama, secara berseloroh
berkata: "Kalau saya masih menjadi Perdana Menteri, tahun lalu sudah
bubar (Parlimen). Tapi saya bukan Perdana Menteri lagi."
Mengulas mengenai hasrat Lim Kit Siang untuk bertanding di Parlimen
Gelang Patah, Dr. Mahathir menyifatkan Penasihat DAP itu sengaja
mempertaruhkan nasibnya untuk menguji kekuatan BN di negeri itu.
Secara sinikal beliau berkata, Kit Siang sebenarnya mahu melihat pandangan dan penerimaan rakyat Johor terhadap parti itu.
"Dia (Kit Siang) pun tahu BN mempunyai penguasaan besar di Johor tetapi kalau dia rasa dia boleh diterima di sana biarlah.
"Kita lihat sahaja keputusan pilihan raya nanti," ujar beliau lagi.
Minggu lalu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesahkan telah memberi
laluan kepada Kit Siang untuk bertanding kerusi parlimen Gelang Patah
pada Pilihan Raya Umum Ke-13.
Perkara itu diumumkan sendiri oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-I'll pray and dream, I'll rise and win-
No comments:
Post a Comment