Monday 2 January 2012

Adam Adli dan AUKU (AAA)

Gerbang masuk ke Tanjung Malim dari Arah Selatan
Melihat kepada situasi Tg Malim (kampung saya) baru-baru ini membuatkan saya terasa bahang 'perjuangan' sudah mula menular di kalangan mahasiswa bakal pendidik. Rata-rata, mereka ini akan mendidik anak bangsa (Melayu, Cina, India dan lain-lain). Yang sedihnya, golongan yang dipelopori oleh bangsa Melayu ini sekali lagi menunjukkan jaguh dan perasaan tidak puas hati yang kononnya meluap-luap dikalangan mahasiswa (di IPTA-IPTA tertentu sahaja).
Secara teorinya, saya meletakkan beberapa perkara asas dalam tindakan sebegini. Ini teori yang saya rungkai sendiri demi mencari erti sebenar 'perjuangan'. golongan-golongan ini. Bukan menempelak tetapi mencari kesinambungan cerita yang tidak tahu asas kebenarannya. Sebagai rekod, saya seorang MPP (setahun sebelum era ASPIRASI) di salah sebuah universiti tempatan. Pada masa itu, tiada asas politik yang dimasukkan dalam proses kemahasiswaan kami. Namun begitu, kami tidaklah seperti katak di dalam kotak yang tidak tahu langsung akan agenda politik, agenda nasional dan agenda kerajaan/pembangkang. Yang pastinya, perkara pokok yang utama adalah membawa harapan ibubapa SAHAJA. Berjaya itu adalah dalam konteks 'harapan' ibubapa sahaja. Malah, bukan untuk diri sendiri. Saya mempunyai cita-cita, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menggapainya. Yang saya tahu, saya mesti belajar. Setakat mana kesahihan yang formula 'belajar= berjaya' sangat samar. Terus- terang pada masa itu, harapan bangsa dan negara langsung tidak terdetik kerana saya tidak tahu. Mungkin jahil tentang subsidi yuran yang dikenakan. Mungkin jahil dengan DEB yang menjadi asas kejayaan Bumiputera. Saya begitu yakin yang saya TIDAK MUNGKIN dapat masuk ke IPTA sekiranya tiada dasar DEB. Nasib, meritokrasi tidak menjadi asas pemilihan pada ketika itu. Jika tidak, alamatnya..... Saya tidak pasti di mana saya pada masa ini.
Mungkinkah cara sebegini boleh menampakkan keterampilan yang tidak terhingga kepada mahasiswa, terutama ketua-ketua mereka? Atau mungkin percaturannya sebegitu. Dalam tsunami politik PRU 12, semua pihak tidak kira pemerintah atau pembangkang merasakan mereka mempunyai peluang untuk menang/kalah. Tumpasnya negeri-negeri yang dicatur sebagai kubu kuat pemerintah, tersungkur ke tangan yang lain. Perjalanan dari Melaka ke Perlis (sejurus selepas PRU 12) hanya Negeri Sembilan dan Perlis sahaja yang dikuasai BN. Yang lainnya disapu bersih oleh pembangkang. Mungkin ini menjadi asas yang pembangkang merasakan mereka boleh mencapai kemenangan mutlak pada PRU 13. Untuk itu, saya merasakan yang ini percaturan 'politik' golongan mahasiswa tersebut. Sekiranya mereka menyokong pembangkang sekarang dan pembangkang menang PRU 13, maka 'imbuhan' yang setimpal pastinya diberikan kepada mereka. Mengikut istilah golongan fanatik muzik,mereka ini tidak lebih dari golongan posers. Golongan yang cuba menjadi sesuatu profil yang sebenarnya bukan diri mereka sendiri. Contohnya, mereka 'cuba' menjadi seorang rockers walaupun mereka sebenarnya tidak. Ini bersangkutan dengan konsep trend. sekiranya mereka tidak mengikut trend, maka mereka akan dikatakan kolot. Selain itu, boleh juga saya katakan mereka ini opportunist yang menjangkakan kemenangan pembangkang pada PRU 13.
Dalam perspektif yang lain, mereka ini mungkin juga tools untuk pembangkang memperlihatkan diri mereka dalam setiap hati mahasiswa (kononnya). Segenap lapisan masyarakat menyokong mereka (kononnya). Mereka seolah-olah bertakhta di hati masyarakat.

'Kononnya' Pejuang
Namun begitu, saya merasakan kedua-dua golongan ini bertindak dalam proses win-win situation yang kedua-duanya akan meraih keuntungan. Ini jelas kerana kedua-duanya opportunist yang nyata.

Pada saya, proses penganjuran ini sangat memakan masa dan komitmen yang tinggi dari semua pihak yang terlibat. Siang dan malam diperuntukkan untuk merangka dan menjalankan program-program sebegini. Belum dicampur mesyuarat-mesyuarat yang perlu di atur supaya proses ini dapat dilaksanakan. Saya tahu kerana saya pernah menganjurkan program-program (pembangunan sahsiah) peringkat universiti dan IPTA. Cuma persoalannya, bilakah masa mereka ini mentelaah pelajaran? Adakah KESEMUA mereka ini bijak pandai (genius) seperti Adam Adli? Saya hanya boleh menumpukan perhatian kepada 1 perkara dalam satu masa dan selebih-lebihnya dua. Namun salah satu mestilah menjadi keutamaan saya. Ini kerana, saya manusia yang lemah dan tidak mampu untuk menjadi jaguh dalam serba bidang. Sekiranya penumpuan lebih kepada satu aspek, maka secara automatik yang satu lagi akan diketepikan (sedikit). Cuba tuan/puan buat kerja kursus/ assignment secara serentak untuk dua mata pelajaran. Saya pasti yang tumpuan hanya boleh dibuat satu persatu, bukan kedua-duanya sekali.
Maka saya boleh katakan yang mereka ini membazir duit rakyat (duit cukai saya dan semua) dalam memastikan mereka ini dapat belajar dengan sempurna. Saya rasa, dalam AUKU patut ditulis golongan yang terlibat ini (penganjur dan peserta) tidak layak untuk guna duit saya dan rakyat. Saya tidak halalkan. Tidak pasti dengan orang-orang lain (yang membayar cukai) di luar sana.

Mungkinkah ini yang kita fikirkan?
Hasil nukilan chedet (2008) untuk renungan kita bersama:
1. Saya mengaku yang sayalah orangnya yang telah perkenalkan AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti) semasa saya menjadi Menteri Pelajaran.

2. Walaupun kita sudah merdeka lebih 15 tahun ketika itu tetapi bilangan kelulusan daripada universiti tidak ramai, terutamanya di kalangan orang Melayu. Jumlah jurutera, doktor perubatan, arkitek dan lain-lain ahli profesional amat kecil dan menyedihkan. Sebaliknya maju mundurnya bangsa dan negara bergantung kepada ketinggian jumlah rakyat yang berilmu. Tidaklah sihat bagi Malaysia jika dari rakyat berbilang kaumnya jumlah Melayu dan bumiputera lain yang berkelulusan universiti sangat berkurangan. Setelah Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan maka jumlah penuntut Melayu di tiga buah universiti tempatan sudah bertambah dengan banyaknya. Tetapi kemasukan sahaja tidak akan dapat menambah jumlah Melayu yang berpelajaran tinggi jika ramai yang diterima masuk tidak lulus dan tidak berjaya memperolehi ijazah.

3. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa ramai penuntut Melayu dan bumiputra lain yang diterima masuk universiti memiliki kelulusan yang kurang baik daripada penuntut bukan Melayu. Samada mereka mendapat ijazah universiti atau tidak bergantung kepada kegigihan mereka menumpu sepenuh masa untuk menguasai ilmu melalui proses-proses pembelajaran ala universiti.

4. Kita dapati penuntut Melayu amat berminat dengan kegiatan politik. Mereka suka melibatkan diri dengan demontrasi jalanan dan lain-lain aktiviti politik yang memakan masa mereka di universiti. Dengan ini tidak dapat tidak tumpuan mereka kepada penguasaan ilmu tentu kurang. Amatlah merugikan mereka dan masyarakat Melayu jika mereka gagal.
5. Apakah kerana mereka tidak boleh berdemonstrasi dan lain-lain maka mereka akan kurang berpengetahuan dalam bidang politik; mereka akan jadi robot? Tidak juga. Mereka boleh ada forum perbahasan dalaman atau antara universiti, dan mereka boleh mendapat pakar yang tidak punyai kepentingan politik parti untuk memberi syarahan dan sessi soal jawab. Tanpa terlibat secara langsung dengan aktiviti politik berpartian, mereka masih boleh menguasai dan memahami selok belok politik.

6. Kegiatan seperti ini tidak akan memisah mereka daripada menumpukan masa yang mencukupi untuk menguasai ilmu yang menjadi sebab utama mereka berada di universiti.
7. Harus diingat bahawa pembiayaan bagi tiap-tiap penuntut samada yang dapat biasiswa atau tidak datang daripada duit rakyat. Duit itu disalur dengan rela hati oleh mereka kerana kepentingan penuntut dan ilmu yang dituntut oleh mereka, yang akan menjamin masa depan yang cerah bagi mereka. Rakyat yang sanggup wang ini dibelanjakan untuk penuntut sedia berkorban jika korban mereka mendatangkan hasil yang dikehendaki. Tentulah mereka akan kecewa jika wang mereka disalahguna, dihabiskan untuk kegiatan yang lain. Negara juga akan rugi kerana tidak dapat warga yang berilmu. Dan penuntut itu sendiri akan rugi kerana masa depan mungkin tidak cerah seperti yang diharapkan.

8. Pengorbanan yang kita pohon daripada penuntut kita hanya sedikit sahaja. Masa untuk menuntut tidak begitu lama – hanya tiga atau empat tahun sahaja. Setelah lulus tumpukanlah sepenuh masa untuk kegiatan politik atau lain-lain jika ini menjadi minat utama. Pada masa itu kita tidak habiskan wang orang lain. Kita habiskan duit dari titik peluh kita sendiri.
9. Saya percaya orang yang bertanggungjawab dan tahu kenang budi seperti ini akan menjadi manusia dan pemimpin politik yang lebih baik.
10. Tetapi jika kita sanggup habiskan duit orang, kita hampakan harapan orang, sebaliknya kita tidak rela mengguna duit dan masa kita sendiri untuk sesuatu yang kita gemar, maka tidaklah kita dapat berkata yang kita begitu prihatin dan rasa bertanggungjawab terhadap masalah negara kita.
11. Penuntut universiti tentu tidak suka dengar pendapat saya ini. Yang amat marah kerana AUKU ialah penuntut Melayu. Saya rela dimarah oleh siapa sahaja tetapi saya tidak berniat buruk semasa memperkenalkan AUKU. Bagi saya peningkatan kebolehan bangsa saya adalah lebih penting dan utama daripada apa kecaman terhadap diri saya.

12. Jika hari ini penuntut lebih dewasa dan bertanggungjawab batalkan sahaja AUKU










-I'll pray and dream, I'll rise and win-

No comments:

Free Counter | DiseƱo Web