Monday 23 March 2009

Kelab UMNO Luar Negara bawa usul suara generasi muda

ARKIB : 23/03/2009

Kelab UMNO Luar Negara bawa usul suara generasi muda
KUALA LUMPUR 22 Mac - Kelab UMNO Luar Negara akan membawa usul yang bakal meningkatkan keahlian kelab itu dan mencerminkan suara generasi muda Malaysia dalam Perhimpunan Agung UMNO yang bermula minggu depan.

Usul tersebut juga bagi membolehkan UMNO menjadi sebuah parti yang berwajah baru.

Pengerusi Kelab UMNO Southampton, Wan Md. Hazlin Agyl Wan Hassan berkata, Kelab UMNO Luar Negara menerima usul daripada 70 kelab dan akan ditapis sebelum dibawa kepada perhimpunan tersebut.

Menurutnya, secara umumnya ia akan mencerminkan suara generasi muda yang mahu melihat transformasi menyeluruh dalam UMNO.

"Secara peribadi, saya sedih kerana tidak pernah menyangka UMNO akan goyah. Ia tidak patut berlaku lebih-lebih lagi pada usia UMNO sekarang, ia umpama malapetaka dan takdir buruk yang perlu dihadapi.

"Kita perlu muhasabah diri dan bertindak. Caranya ialah melalui perubahan luar biasa yang menyeluruh. Saya tidak mahu kelak orang memandang UMNO sebagai tidak relevan," katanya kepada Utusan Malaysia pada Kursus Kepimpinan Kelab UMNO Luar Negara 2009 di sini hari ini.

Agyl, 26, dipilih daripada sembilan calon yang disenarai pendek sebagai wakil Kelab UMNO Luar Negara untuk berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau adalah pelajar Ijazah Doktor Falsafah Perancangan dan Kejuruteraan Pengangkutan untuk Operasi Rel di Universiti Southampton, United Kingdom.

Kamarul Amir Mohamed, 30, yang dipilih sebagai jurucakap simpanan pada perhimpunan itu berpendapat, UMNO masih relevan dan akan kekal sedemikian dengan syarat parti itu melaksanakan amanat perubahan yang diucapkan oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, seperti yang diucapkan oleh Najib, Kelab UMNO Luar Negara merasakan UMNO berada di landasan yang betul apabila melakukan proses perubahan dan ia menunjukkan satu perkembangan yang sihat.

"Peningkatan bilangan kelab menunjukkan hasrat kerajaan untuk menyerapkan golongan muda dalam usaha menyumbang kepada negara.

"UMNO akan kekal relevan kepada Malaysia dan akan kekal sebegitu kalau apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib dilaksanakan," katanya yang merupakan Ketua Penerangan Kelab UMNO London.

-dipetik dari Utusan Online, 23 Mac 2009

http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0323&pub=utusan_malaysia&sec=Politik&pg=po_03.htm&arc=hive

-I'll pray and dream, I'll rise and win-

No comments:

Free Counter | DiseƱo Web