Thursday 27 August 2009

Utusan Malaysia Online - ron95 FOR honda

Utusan Malaysia Online - Korporat

Semua model Honda serasi dengan RON95
KUALA LUMPUR 26 Ogos - Honda Malaysia mengumumkan hari ini bahawa semua model yang diedarkan oleh syarikat itu serasi dengan minyak petrol RON95.

Pengumuman itu dibuat berikutan keputusan kerajaan untuk menaikkan harga RON97, serta pelancaran pilihan yang lebih mampu dibeli, iaitu RON95, yang akan menggantikan RON92.

Bahan api baru itu boleh dibeli dengan harga RM1.75 seliter, berkuatkuasa 1 September.

Oleh kerana RON97 paling biasa digunakan, banyak pihak yang ragu-ragu untuk beralih kepada bahan api yang lebih rendah RONnya, tetapi Honda Malaysia memberi jaminan kepada semua pemandu kenderaan Honda bahawa RON95 seharusnya tidak menjejaskan mana-mana model yang diedarkan oleh wakil jualan sahnya, kecuali model Civic Type R.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toru Takahashi berkata, dalam satu kenyataan bahawa semua kereta Honda memerlukan RON91 minimum sejak 2001 dan dengan demikian sebarang angka melebihi RON minimum adalah selamat.

"Kecuali bagi Civic Type R, yang kami cadang menggunakan RON97 disebabkan enjinnya yang berprestasi tinggi. RON yang lebih tinggi akan menghasilkan lebih kuasa bagi sedan berprestasi tinggi ini. Jika tidak, prestasinya dan penggunaan bahan apinya mungkin terjejas," jelas beliau.

Jika bahan api yang lebih rendah RONnya digunakan, satu keadaan yang dipanggil engine knocking (perlagaan enjin) akan berlaku, yang akan mengakibatkan penurunan prestasi dan pengurangan kecekapan bahan api, kata syarikat itu.

Bagi mengelakkan perlagaan enjin, semua model daripada Honda Malaysia dilengkapi sensor perlagaan, iaitu pengesan yang memberi isyarat kepada operasi enjin untuk memperlahankan pemasaan pencucuhan (tindakan palam pencucuh) jika berlaku perlagaan enjin, yang akhirnya akan menjejaskan pretasi dan kecekapan bahan api kenderaan.

Bagi model-model yang diedarkan sebelum 2001 atau diedarkan oleh bukan wakil jualan Honda yang sah, pemilik dinasihati memastikan keperluan RON minimum kenderaan dengan merujuk kepada manual pemilik mereka. - BERNAMA

Shared via AddThis

No comments:

Free Counter | DiseƱo Web