Monday 17 December 2012

Bukti PAS Bukan Parti Dominan: Oleh Zulkifli Noordin

 Diambil dari: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121217/re_01/Bukti-Pas-bukan-parti-dominan

Mungkin ada yang terlepas baca/pandang..... Menarik untuk dikongsi....

Bukti Pas bukan parti dominan

DALAM apa kedudukan pun, Pas telah membuktikan kepada umat Islam-Melayu bahawa ia bukan sahaja parti yang tidak boleh diharapkan untuk membela dan mempertahankan kepentingan dan kebajikan mereka, malah ia boleh menjadi parti yang boleh mengkhianati dan menikam belakang umat Islam-Melayu demi survival dan kepentingan politiknya.
Jangan kata umat Islam-Melayu, anak isteri pun mereka rela perkeldaikan dan politikkan. Sanggup cerai bini sendiri dengan talak tiga semata-mata kerana politiking yang melampau.
Mari kita tengok apa jadi kepada Kerajaan Pas Kedah. Kerajaan di mana parti yang dominan ialah Pas, kerana ADUN Pas paling ramai, dan ADUN DAP hanya seorang. Dalam keadaan itu, kerajaan Pas sepatutnya tidak ada masalah untuk melaksanakan segala dasar dan agenda Pas.
Sebaliknya, lain yang berlaku. Contohnya, apabila Kerajaan Pas Kedah mengumumkan akan merobohkan sebuah pusat penyembelihan babi di Kota Setar, ADUN DAP tersebut telah membantah dan memberi kata dua - tarik balik arahan tersebut atau beliau akan bawa DAP Kedah keluar.
Akhirnya, kerajaan Pas Kedah membatalkan arahan tersebut. Dominan ke namanya tu?
Kita tengok pula apa jadi bila kerajaan Pas Kedah mengeluarkan arahan supaya semua pusat hiburan wajib ditutup sepanjang bulan Ramadan. Hanya dengan satu bantahan daripada DAP, arahan tersebut dibatalkan. Dominan ke namanya itu?
Paling terbaru, kerajaan Pas Kedah mengeluarkan arahan supaya semua papan-tanda iklan yang mengandungi gambar wanita yang tidak berpakaian sopan hendaklah diturunkan. Belum sempat Karpal Singh batuk, arahan itu segera ditarik balik bila ada suara membantah daripada DAP. Dominan ke namanya tu?
Mari kita beralih ke Pulau Pinang. Saya tidak bercadang untuk bariskan segala peristiwa yang berlaku untuk membuktikan betapa hinanya Pas pada pandangan mata kerajaan DAP Pulau Pinang. Cukup sekadar kita tengok bagaimana cara mereka melayan satu-satunya ADUN Pas di Pulau Pinang. Pas hanya ada satu ADUN di Pulau Pinang; iaitu Saleh Man, ADUN Permatang Pasir yang juga Pesuruhjaya Pas Negeri Pulau Pinang.
Sepatutnya dalam erti kata perkongsian yang telus dan harmoni serta saling hormat menghormati sebagaimana yang diamalkan dalam BN yang ditunjangi UMNO, kerajaan DAP Pulau Pinang wajib memberikan tempat kepada satu-satunya ADUN Pas.
Sebagaimana yang dibuat oleh UMNO, masih mengambil pimpinan MIC, MCA dan Gerakan yang tewas dalam pilihan raya; diberikan tempat di dalam kerajaan bertaraf Menteri. Itu namanya dominan. Bukan sahaja dominan, tetapi menghormati rakan kongsi dalam persefahaman yang ikhlas.
Tetapi tidak dalam pakatan songsang DAP-PKR-Pas ini. Satu-satunya ADUN Pas di Pulau Pinang, langsung tidak diberi muka dalam barisan Exco Kerajaan DAP. Sepatutnya Pas yang dilabelkan sebagai parti Islam, paling tidak pun ADUNnya patut diberi jawatan Exco menjaga portfolio hal-ehwal Islam. Malah itulah antara bahan kempen semasa Pilihan Raya Kecil Permatang Pasir. Tetapi tidak. ADUN Pas yang juga ketua Pas Pulau Pinang langsung tak diberi muka oleh Kerajaan Lim Guan Eng.
Sebaliknya, Malek Kasim yang bukan lulusan daripada jurusan Islam dan merupakan ADUN PKR Batu Maung dilantik memegang jawatan Exco Hal Ehwal Agama Islam.
Ini bukan sahaja membuktikan Pas bukan parti dominan, malah Pas hanyalah dianggap sebagai parti keldai tunggangan sahaja. Ini adalah satu penghinaan besar kepada Pas. Mungkin doa dan impian Presiden Pas untuk menjadi khadam sudah pun tertunai. Jadi, dominan ke namanya tu?
Kalau kita tukar angin tengok ke Selangor, bertambah gerun lagi kita dibuatnya! Pas ada lapan ADUN, bermakna Pas adalah parti king-maker kerana jika Pas menarik diri kerajaan pakatan pembangkang akan tumbang.
Dengan kedudukan sebagai king-maker itu, kita sepatutnya boleh meletakkan harapan Pas boleh ‘tunjuk taring’ dan ‘bersuara lantang’ melaksanakan agenda dan dasar perjuangan Pas yang kononnya mahu menjadi parti alternatif umat Melayu-Islam menggantikan UMNO.
Tapi apa yang terjadi sebaliknya. Datuk Dr. Hasan Ali, Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga Exco Hal-Ehwal Agama Islam Selangor mendapati bukan sahaja beliau berdepan dengan kekangan dan kesukaran oleh rakan komponen DAP-PKR di dalam melaksanakan dasar dan agenda Islam-Melayu, malah beliau turut berdepan dengan sabotaj dan khianat daripada Pas sendiri.
Cubaan Hasan membersihkan Shah Alam daripada unsur arak dan maksiat yang makin bercambah sejak pakatan pembangkang memerintah ternyata kecundang.
Menggunakan kuasa dan kedudukannya sebagai Exco Agama, dan berbekalkan kedudukan Pas sebagai king-maker di Selangor, Hasan dengan kerjasama PBT Majlis Bandaraya Shah Alam menjalankan operasi pembersihan dengan merampas arak yang dijual secara bebas di kedai-kedai serbaneka di Shah Alam.
Kita ingatkan ahli dan penyokong Pas akan bertakbir sakan. Almaklumlah pernah ada antara mereka yang membuat kenyataan, ‘hari ni memerintah Selangor, esok kilang arak tutup’.
Tapi apa jadi? Tidak sampai beberapa hari, kaum cauvinis dan rasis DAP mula melalak dan memekak. Mereka menuntut arahan Hasan dibatalkan dan arak itu dipulangkan kembali kepada kedai-kedai serbaneka itu. Umat Melayu-Islam ingatkan tentu para mujahidin dan para demonstran Pas akan turun berarak di Shah Alam, mungkin juga sampai membaringkan badan di atas jalan untuk menghalang kereta Ronnie Liu daripada bergerak.
Tidak, sebaliknya umat Melayu-Islam menjadi kecewa dan hampa. MBSA diarah memulangkan semula arak tersebut. Bayangkan betapa hina dan aibnya kita umat Melayu-Islam bila melihat lori MBSA terpaksa memulangkan semula arak-arak yang dirampas itu ke kedai-kedai serbaneka. Dominan ke namanya itu?
Kemudian kita tengok pula isu serangan terhadap akidah umat Melayu-Islam. Hasan menerima maklumat bahawa Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) melakukan dakyah dan cuba memurtadkan beberapa orang Melayu-Islam. Berdasarkan itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan siasatan di DUMC.
JAIS mendapati aduan itu betul, dan menemui beberapa dokumen dan individu yang terlibat. Maka JAIS pun bertindak.
Apa jadi? Sekali lagi umat Melayu-Islam mengharapkan Pas akan mengambil tindakan tegas kerana ini membabitkan isu akidah. Apa lagi yang lebih besar selain masalah akidah. Serangan terhadap akidah umat Islam sama seperti mengisytiharkan perang terhadap Islam.
Umat Islam mengharapkan Pas tidak akan berkompromi. Sebagaimana umat Melayu-Islam melihat Pas dan UMNO bersama melakukan bantahan besar-besaran semasa isu IFC, isu murtadnya Noraishah Bukhori, murtadnya Hartini Kamarudin, murtadnya Azlina Jailani atau Lina Joy. Umat Melayu-Islam tidak sabar mendengar pengumuman jihad oleh Pas.
Sebaliknya pula yang berlaku. Hasan dimaki-hamun, dicerca, dihina dan ditohmah tidak pandai berpolitik. Beliau difitnah tidak tahu menghormati hak gereja dakyah. Hasan dikutuk tidak memahami perasaan DAP. Hasan didakwa akan menyebabkan Pas hilang undi, hilang kerusi. Akhirnya Hasan dipecat. Tanpa notis, tanpa tunjuk-sebab, tanpa boleh bela diri, tanpa dipanggil mesyuarat.
Apa dosa Hasan sehingga diperlakukan seperti ‘pembawa sial’ tu? Dosa Hasan Ali kerana nak menyelamatkan akidah umat. Dosa Hasan Ali kerana nak melaksanakan nilai Islam. Dosa Hasan Ali kerana nak mencegah kemungkaran. Dosa Hasan kerana nak mempraktikkan dasar yang dilaungkan oleh Pas selama ini.
Atas dosa itu, Hasan dipecat tanpa menurut hukum dan syariat Islam, oleh parti yang melabel dirinya sebagai Islam. Betapa ironisnya. Dominan ke namanya tu?
Dan yang paling mengaibkan, sebaik sahaja dipecat, portfolio Hal Ehwal Islam diambil-alih oleh PKR! Pas parti yang melabelkan diri sebagai Islam, yang menjanjikan pahala kepada orang yang mengundinya, yang menjamin syurga orang yang menyokongnya, yang mendoakan kehancuran umat Islam lain, yang memurtadkan saudara satu akidah; kali ini dihancurkan dan dihina apabila portfolio Hal Ehwal Islam Selangor diambil alih oleh Tan Sri Khalid Ibrahim. Pas diberi apa? Portfolio menjaga Sukan dan Adat Resam Melayu! Dominan ke namanya tu?
Apa rumusan kepada semua fakta dan hakikat yang saya huraikan di atas? Rumusannya jelas. Pas bukan parti dominan dan tonggak. Sebaliknya Pas adalah parti sampingan dan tunggangan.


-I'll pray and dream, I'll rise and win-
Free Counter | DiseƱo Web